Wednesday, July 18, 2012

Sinopsis dan Pengajaran dari Filem Bunohan - Sebuah Esaimen TITAS



SINOPSIS FILEM BUNOHAN




BUNOHAN adalah nama sebuah kampung di Kelantan. Filem ini merupakan sebuah kisah tragik kasih sayang antara tiga beradik tiri dan bapanya yang kian uzur. Kisah pergelutan mereka untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu bapa, kian beransur ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan. Filem ini bermula jauh di kampung pedalaman bahagian selatan Thailand, berdekatan sempadan Malaysia. 'Bunga Lalang' atau Adil mengambil bahagian dalam pertandingan tinju Tomoi yang melibatkan pertaruhan wang, maruah dan nyawa. Adil cedera parah dalam pertarungan itu. Sahabat lama Adil sempat menyelamatkannya dari maut, menyebabkan mereka melarikan diri daripada penganjur pertinjuan haram tersebut, Jolok.
Ilham, seorang pembunuh upahan dihantar untuk memburu mereka sementara kedua-dua sahabat itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Bunohan. Kampung Bunohan juga merupakan kampung halaman Ilham yang sudah lama ditinggalkan.



Ilham tidak pernah pulang walaupun ketika ibunya berada di hujung nyawa. Pada waktu yang sama, Bakar (abang sulung Adil) juga pulang ke Kampung Bunohan kononnya untuk menjaga bapa mereka yang uzur. Bapa Bakar dilihat giat aktif bermain wayang kulit. Perwatakan baiknya yang mengambil berat akan kesihatan bapanya telah melindungi niat buruk seorang usahawan bercita-cita tinggi. Bakar seorang yang berhati kejam yang sanggup melepaskan segalanya dan membuat apa saja untuk mencapai kekayaan.

Bapa Bakar mempunyai sebidang tanah berhampiran kelab tomoi Pak Awang Sonar. Bakar telah bersetuju dengan pengarah projek di Kuala Lumpur untuk membeli tanah ayahnya untuk mendirikan chalet dan padang golf berhampiran pantai. Tanah bapa Bakar merupakan laluan utama untuk masuk ke tapak projek tersebut, maka ianya amat diperlukan.


papan tanda chalet yang akan dibina di Kampung Bunohan


Bakar telah memujuk ayahnya berulang kali untuk memberikan persetujuan, namun ditolak mentah-mentah oleh bapanya. Disebabkan Adil kalah dalam pertinjuan tempoh hari, maka kelab tomoi Pak Awang Sonar digesa untuk mengadakan perlawanan bagi menebus kerugian yang dialami oleh Jolok. Jika tidak, tanah kelab itu akan dijual kepada Bakar.

Bapa Bakar juga ingin memberi tanah seluas 30 ekar kepada Adil yang merupakan pewaris sebenar tanah tersebut. Terdapat banyak konflik keluarga yang dimainkan di dalam filem ini.

Pada akhirnya, Adil meninggal di dalam pertarungan tomoi setelah diracun oleh Jolok, Ilham pula dibunuh oleh rakannya yg merupakan pembunuh upahan juga. Dalam usaha untuk Bakar mendapat hak geran tanah itu, Bakar terpaksa membunuh bapanya sendiri menggunakan pencucuk patung wayang kulit. Setelah itu, Bakar mendapat kebenaran sepenuhnya untuk menjual tanah tersebut untuk dijadikan tapak projek chalet.



 Muski vs Adli



Pengajaran

  1. Menolong kawan yang dalam kesusahan.

Sikap ini terbukti ditunjukkan oleh Muski (kawan Adil) ketika menyelamatkan Adil sewaktu Adil cedera parah dalam pertarungan tomoi. Malah, Muski juga membawa Adil berjumpa dengan Pok Wa, seorang yang arif dalam perubatan tradisional.

Sikap seperti ini wajar diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia supaya sentiasa menolong rakan dan taulan semasa dalam kesusahan walaupun terpaksa bergadai nyawa.





  1. Hubungan keluarga tergadai kerana tanah pusaka.

Perlakuan Bakar yang mencuba sedaya upaya untuk memperoleh tanah daripada ayahnya merupakan punca tercetusnya perbalahan di dalam keluarga mereka. Walaupun Adil dan Ilham tidak berebut tanah, tetapi bapa Bakar berusaha mengelak Bakar daripada menjual tanah pusaka tersebut yang bukan hak Bakar. Keengganan bapa Bakar telah menyebabkan Bakar tidak puas hati dan melakukan apa yang termampu untuk mendapatkan tanah tersebut.

Seringkali dilihat dalam hubungan masyarakat di Malaysia, tanah dan harta pusaka menjadi punca utama perbalahan di dalam keluarga. Golongan muda hanya mahu menjual tanah pusaka untuk mendapatkan wang segera, namun golongan tua yang lebih arif tentang kegunaan dan kepentingan tanah yang harus dijaga untuk generasi masa depan. Seharusnya, pertelingkahan yang berpunca daripada harta pusaka dielakkan kerana hubungan ibubapa dan anak adalah lebih penting berbanding harta.



    3. Mengamalkan sikap perpaduan antara kaum.

Pengarah cuba menyuntik nilai perpaduan apabila menonjolkan persahabatan antara Ilham, Pok Wa dan rakan mereka yang berbangsa Cina, Cheng. Cheng sanggup merawat Ilham yang cedera ditusuk pisau.

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum haruslah bersatu padu supaya tragedi rusuhan kaum tidak berulang lagi dan semoga dapat melindungi antara satu sama lain.



    4. Kasih kepada ibu bapa.

Sikap Ilham yang ditunjukkan sebagai ganas dan membunuh orang tanpa belas kasihan hanyalah sekadar pekerjaannya sahaja. Setelah berpuluh tahun meninggalkan kampung Bunohan, dia telah berusaha mencari kubur ibunya, Mek Yah. Namun didapati kubur ibunya telah dialihkan ke tempat lain oleh seseorang. Marah dengan peristiwa itu, Ilham cuba mencari orang yang mengalih kubur ibunya dan membunuh mereka. Walaupun dilihat kejam, tetapi terbukti Ilham amat menyayangi arwah ibunya. Beliau juga berusaha mengumpul tengkorak dan tulang-temulang mereka yang dipindahkan, dan kemudian menanam semula tulang itu di kawasan kubur asal masing-masing.

Sikap menghormati dan menyayangi ibubapa semakin pudar dalam kalangan generasi muda di Malaysia. Jika tidak dapat berbakti kepada ibubapa di waktu mereka masih hidup, sepatutnya kita sentiasa menziarah dan mengambil berat akan kubur ibubapa dan mendoakan kesejahteraan mereka di akhirat.


    5. Usaha menghidupkan seni warisan.

Bapa kepada Bakar seringkali dilihat bersama dengan koleksi wayang kulitnya. Beliau juga sentiasa bermain wayang kulit dan pernah mengajar anak-anaknya tentang tradisi wayang kulit.

Seni warisan seperti wayang kulit yang dimainkan pada malam hari dan paluan kompang ketika majlis bersanding hampir-hampir pupus dan tidak lagi dikenali oleh generasi muda. Rakyat Malaysia perlu berusaha untuk mengekalkan seni warisan yang tidak ternilai harganya ini dan menjadikannya sebagai salah satu identiti masyarakat Malaysia.




Sekian.
Wassalam =)


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...