hatbit

Wednesday, October 20, 2010

Mengapa.......

Mengapa aku terlalu gembira pabila sang mentari
       memancarkan senyumannya yang terik kepadaku…

Mengapa aku baru menghargai sinaran mentari
       di kala senja hendak melabuhkan tirainya…

Mengapa aku baru menjumpai permata di celahan kaca
      tatkala semuanya sudah terlambat…

Mengapa kau begitu gembira mencoret di dinding-dinding awam
       sedangkan hendak melihat ke dinding emas pun tidak berdaya…

Mengapa kau datang dan pergi sesuka hatimu
       umpama jajahan ini sudah menjadi taklukanmu…

Mengapa kau membahagiakan rakyatku
       sedangkan kehadiranmu di jajahan ini cuma seketika…

Mengapa kau memberiku bunga
       dan kemudian kau cantasnya daripadaku dengan rakus…

Mengapa perjanjian yang ku cuba capai
      tidak mendapat balasan darimu…

Mengapa aku masih menghulurkan tangan
       meskipun  kau sudah menggenggam M16…

Mengapa aku tegar menghantar merpati kepadamu
       sedangkan aku tahu kau akan menembak mereka dengan kejam…

Mengapa setelah sekian lama berperang
       baru sekarang kau mahu melakukan gencatan senjata…

Mengapa tatkala mereka membina jambatan penghubung
       kau pula sibuk membina tembok benteng yang begitu kukuh…

Mengapa aku masih tidak bahagia
       meskipun sudah banyak bunga yang ku cuba petik…

Mengapa aku masih menangis di kuburan yang tiada penghuninya
       sedangkan kau bahagia berpesta di sana…

Hanya Engkau dan engkau yang mengetahui.......


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...